Berita Utama

COVID-19: Malaysia rekod 489 kes baharu

487 merupakan penularan tempatan, 2 lagi adalah kes import

KUALA LUMPUR, 19 Safar 1442H, Rabu – Kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini menurun berbanding semalam namun tetap merekodkan tiga angka dengan mencatatkan 489 kes dan kemunculan dua kluster baharu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 487 merupakan penularan tempatan dan dua lagi merupakan kes import.

“Daripada 487 kes penularan tempatan, 467 kes melibatkan warganegara dan 20 kes lagi bukan warganegara manakala kes import melibatkan satu warganegara dan satu bukan warganegara yang mengembara dari India dan Kepulauan Maldives,” katanya dalam kenyataan berhubung situasi COVID-19 di sini, hari ini.

Dengan perkembangan itu, katanya jumlah kes positif keseluruhan adalah 13,993 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 3,351 kes.

Manakala terdapat 74 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,501 kes atau 75.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button