Berita Utama

ISMA Gombak tangguh serahan memo bantahan penjualan arak

Akur nasihat MKN selepas ambil kira peningkatan kes COVID-19 di Selangor

Oleh Athirah Huda Zalhe

GOMBAK, 19 Rabiulawal 1442H, Khamis – Serahan memorandum bantahan ke premis-premis penjualan arak di sekitar Taman Sri Gombak, di sini hari ini ditangguhkan atas nasihat pihak polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak akur dengan nasihat berkenaan, dan menetapkan semula tarikh baharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor berakhir.

Penyerahan memorandum bantahan yang dijadualkan jam 10 pagi ini adalah lanjutan daripada kempen ‘Komuniti Kita Bebas Arak’ yang dilancarkan ISMA Gombak, pada Ogos lalu.

Yang Dipertua ISMA Gombak, Haji Abdul Samad Ashaari berkata, penangguhan ini dibuat berikutan mengambil kira situasi semasa peningkatan kes COVID-19 di Selangor.

“Jadi, kita berbincang dengan pihak MKN dan membuat keputusan terbaik untuk tangguh dahulu penyerahan memorandum kerana bimbang tidak dapat mengawal pematuhan SOP.

“Setakat ini kita merancang mengadakannya selepas PKPB berakhir, tetapi ISMA Gombak ada berbincang dengan pihak polis dan MKN untuk ia dibuat tanpa melibatkan ramai orang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, perancangan awalnya, ISMA Gombak bersama persatuan setempat akan menyerahkan memorandum kepada enam atau tujuh premis serbaneka yang menjual arak di kawasan majoriti penduduk muslim.

“Dalam akta kawalan penjualan arak di bawah PBT Selangor, premis tidak dibenarkan menjual arak dalam kawasan majoriti Islam. 

“Jadi, menerusi inisiatif ini kita secara berhemah membawa memo bantahan kepada premis terbabit dan meminta mereka menghentikan penjualan arak di kedai mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penyerahan memorandum itu hanya membabitkan premis serbaneka yang berada di kawasan majoriti Islam, namun tidak menganggu premis sama di kawasan bukan Islam.

“Tindakan kita melalui dua fasa, iaitu menyerahkan memo bantahan secara berhemah dan pantau dalam tempoh seminggu.

“Jika dalam tempoh itu, tiada tindakan dibuat oleh pemilik premis dan masih menjual arak di dalam kedai mereka, maka kita akan membuat aduan kepada PBT,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button