Berita Utama

ISMA lancar buku fotobiografi ‘Muhammad Adib’

Buku 105 muka surat ditulis adik Allahyarham, himpun memori peribadi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – gerakan yang lantang memperjuangkan isu-isu rakyat – hari ini melancarkan buku fotobiografi mengenai anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Apa yang menarik, buku bertajuk ‘Muhammad Adib’ itu ditulis sendiri oleh adik Allahyarham iaitu Siti Aishah Mohd Kassim, 20.

Buku 105 muka surat itu menghimpunkan kehidupan peribadi dan kenangan Allahyarham sejak kecil sehingga berkhidmat sebagai anggota bomba dan penyelamat.

Ia turut menceritakan pengalaman Siti Aishah dibesarkan bersama Allahyarham Muhammad Adib ketika kecil, sikap peribadi abangnya dengan keluarga serta impak tragedi November 2018 ke atas keluarga Mohd Kassim Abdul Hamid.

Buku terbitan Piri Reis Media itu juga menghimpunkan kebanyakan gambar yang tersimpan di dalam telefon Allahyarham sendiri.

Penerbitnya, Muhammad Kamarul Busu berkata, pihaknya tidak menyasarkan jualan terlalu tinggi memandangkan keadaan semasa yang bergelut dengan wabak pandemik COVID-19.

“Namun, kita mengharapkan orang ramai yang mengikuti perkembangan kes Allahyarham Adib untuk dapatkan buku ini, kerana ia bukan buku biasa dengan gaya bahasanya juga berbeza.

“Buku ini adalah kisah benar, dan gambar yang terdapat di dalam buku ini memang daripada telefon milik arwah sendiri,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net, pada majlis pelancaran buku di Ibu Pejabat ISMA di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya itu turut dihadiri Siti Aishah, bapa Allahyarham Muhamad Adib, Mohd Kassim serta wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Buku itu bakal berada di pasaran minggu hadapan dengan harga RM29.00 bagi naskah hitam putih, dan RM49.00 untuk naskah berwarna.

Selain boleh dibeli menerusi Piri Reis Media, orang ramai juga boleh mendapatkan buku ‘Muhammad Adib’ di ibu pejabat ISMA, sebagai pengedar rasmi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button