Berita Utama

Kematian Adib bukti murahnya nyawa penjawat awam Malaysia

ISMA pegang 5 teras, prihatin dengan masalah serta kepentingan ummah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Seolah-olah tiada pembelaan dan keadilan isu kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memperlihatkan betapa murahnya nyawa seorang penjawat awam di Malaysia.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – gerakan yang lantang memperjuangkan isu-isu rakyat -, Haji Aminuddin Yahaya berkata, insiden kematian membabitkan penjawat awam ketika bertugas akibat dibunuh bukan satu perkara kecil.

Beliau berkata, kematian anggota bomba dan penyelamat itu seharusnya diberikan pembelaan yang sewajarnya, ini kerana Allahyarham berjuang untuk menjaga keamanan negara sewaktu insiden rusuhan pada November 2018.

“Orang ramai bertanya kenapa kita (ISMA) beria-ia membela kematian Adib, sedangkan ramai sahaja penjawat awam yang meninggal dunia ketika bertugas.

“Bagi saya, isu Muhammad Adib ini sangat signifikan dalam konteks keadilan kepada penjawat awam.

“Tetapi, jika soal ini tidak diberi pembelaan oleh pihak tertentu, di mana keadilan yang berlaku di Malaysia ini?,” katanya.

Aminuddin berkata, seolah-olah ada kepentingan tertentu yang sedang dilindungi, tetapi nyawa seorang penjawat awam yang terkorban tiada pembelaan.

“Bagi ISMA, kami sentiasa berpegang kepada lima teras utama terutamanya ‘Peduli’, yang mana kita peka dan prihatin terhadap permasalahan serta kepentingan ummah dan bangkit membela nasib rakyat serta mengamalkan ihsan dan keadilan sejagat.

“Jadi, membela nasib rakyat seperti keluarga Encik Mohd Kassim dan Puan Asma Abdul Aziz yang kematian anak tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya menjadi tumpuan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku fotobiografi ‘Muhammad Adib’ di Ibu Pejabat ISMA, di sini hari ini.

Buku yang ditulis sendiri oleh adik Allahyarham, Siti Aishah Mohd Kassim bakal berada di pasaran bermula minggu hadapan.

“Kelahiran buku ini tepat pada masanya untuk kita mengenal dengan lebih dekat siapa susuk tubuh lelaki ini dan mengenang kembali Allahyarham Adib sebagai hero yang tidak didendang.

“Tahniah kepada penulis iaitu Siti Aishah yang juga merupakan adik Allahyarham dan penerbit yang bertungkus-lumus menyiapkan buku ini.

“Saya yakin bukan sahaja penulis, tetapi juga keluarga dan seluruh keluarga besar pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia akan berasa dekat apabila membaca buku ini nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button