Berita Utama

Kesemua 384 sekolah di Klang, Sandakan, Papar, Tuaran ditutup esok

PdP perlu dilaksana di rumah berdasarkan kesesuaian guru dan pelajar

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Semua sekolah yang berada di kawasan zon merah diperintahkan tutup mulai Khamis iaitu 8 Oktober sehingga 23 Oktober, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Keputusan itu akan melibatkan 142 sekolah di Klang, Selangor, dan 242 sekolah yang terletak di tiga zon merah di Sabah.

Ia merangkumi semua sekolah rendah dan menengah di bawah kementerian serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian itu.

Tiga zon merah di Sabah adalah Sandakan, Papar dan Tuaran.

“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan bahawa guru dan pelajar menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah berdasarkan kesesuaian guru dan pelajar,” katanya.

Bagi sekolah yang menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh ini, kementerian mengatakan mereka boleh dijadualkan semula ke tarikh lain.

Kementerian turut mengatakan bahawa sekolah berasrama penuh termasuk kolej vokasional akan ditutup, dan ibu bapa atau penjaga harus membawa anak-anak mereka pulang.

“Bagaimanapun, pelajar yang menunggu untuk dijemput oleh ibu bapa atau pelajar yang ingin tinggal di asrama sekolah dan kolej vokasional dalam tempoh ini akan berada di bawah jagaan warden asrama,” katanya, sambil memaklumkan bahawa makanan dan minuman akan disediakan oleh sekolah selama tempoh penutupan.

Ia juga mengatakan bahawa kementerian akan terus memantau keadaan COVID-19 di seluruh negara dan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkara ini.

“Segala pemberitahuan mengenai penutupan sekolah di daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button