Berita Utama

MB Selangor langgar kuarantin: Polis buka kertas siasatan jika perlu

Polis teliti permohonan maaf Amiruddin yang dibuat di media sosial

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Polis akan meneliti laporan berhubung isu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melanggar arahan kuarantin COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan sekiranya perlu berhubung perkara itu.

“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang laporan berkaitan isu itu.

“Polis akan teliti perkara ini termasuk permohonan maaf dibuat Amirudin. Kenyataan itu dibuat menerusi media sosial.

“Kalau ada keperluan, kita buka kertas siasatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, Amirudin menerusi akaun Facebook memuat naik permohonan maaf kerana terpaksa keluar dari kuarantin di rumah bagi menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan pada kehidupan rakyat Selangor.

Difahamkan, beliau bertindak demikian bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

“Saya mohon maaf terpaksa keluar daripada kuarantin malam ini untuk menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan pada kehidupan rakyat Selangor.

“Saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button