Berita Utama

Melampau! Netizen kecam karikatur hina menteri agama karya Fahmi Reza

“Mungkin kurang kasih sayang ibu bapa, mahukan perhatian”: Netizen

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Pereka seni grafik, Fahmi Reza sekali lagi mengundang kontroversi setelah bertindak keterlaluan melukis karikatur seorang lelaki berjanggut memakai kopiah berwarna merah jambu yang dilihat para netizen seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Lelaki dalam lukisan tersebut digayakan sedang menadah tangan sambil menghembus nafas yang mengeluarkan tompok-tompok berwarna merah jambu dipercayai virus COVID-19.

Lukisan itu dipercayai dimuat naik di media sosial untuk memberi sindiran kepada menteri tersebut setelah beliau disahkan dijangkiti COVID-19, kelmarin.

Bagaimanapun, netizen menganggap lukisan pereka seni grafik berkenaan sebagai melampau kerana mempersendakan seorang agamawan.

Pengguna laman sosial Facebook, Ahmad Saiful Bahri berkata, sebelum ini dia sering mengikuti karya Fahmi, namun kali ini pelukis itu tersilap langkah.

“Aku selalu follow kau, walaupun ada yang aku tak setuju tapi biasa la, kebebasan berkarya aku okay sahaja. Cuma ini kau menghina ulama dan bekas mufti, dia dilantik senator untuk jadi menteri jaga hal ehwal agama, bukan dia sertai politik. Faham sikit beza tu.

“Dengan gambar siap dengan kopiah ini juga kau macam hina agama Islam. Mohon sesiapa yang ada kelapangan buat repot polis atas sebab menghina agama,” katanya dalam ruangan komen Facebook, Fahmi Reza.

Mohd Hisam Hashim pula berkata, pelukis itu mungkin ‘dahagakan’ perhatian serta tidak mengambil pusing segala kecaman yang dilemparkan padanya selama ini.

“Kalau cacian dan makian akan membuat kau berubah, aku rasa kau dah lama dah berubah sebab banyak sangat makian kau dapat hasil karya kau yang lepas.

“Tapi aku rasa kau memang buat semua ini untuk perhatian. Aku faham. Ada antara kita yang mungkin dari kecil kurang mendapat perhatian dan diabaikan. Mungkin kurang dapat kasih sayang ibu bapa, atau latar belakang keluarga bermasalah. Jadi kau buat semua ini untuk orang bagi perhatian yang lebih pada kau,” kata Mohd Hisam.

Katanya lagi, tidak menjadi hal untuk Fahmi mengutuk orang politik, namun padanya Dr Zulkifli adalah ahli agama dan tak sama dengan ahli politik yang lain. 

“Berbeza dengan ahli politik parti agama yang tu. Jadi saranan aku kau muhasabahlah diri. Mungkin ada yang baik kau boleh buat lepas ini,” katanya memberi saranan.

Sementara pengguna bernama Rafidah Abd Rahim pula menggesa Fahmi memadam hantaran itu kerana bimbang akan memburukkan keadaan.

“Moga awak boleh padam posting tu. Makin mengeruhkan keadaan. Terima kasih Fahmi. Moga Allah lindungi kita semua. Amin,” katanya

Terdahulu, Dr Zulkifli disahkan dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Zulkifli turut meminta mana-mana individu yang menghadiri majlis melibatkan kehadirannya agar membuat ujian saringan COVID-19.

Untuk rekod, beliau menghadiri majlis di Sandakan, Sabah pada 20 September lalu termasuk memberi ceramah agama di masjid daerah itu, bagaimanapun ia sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button