Berita Utama

Muhyiddin tak langgar arahan KKM: PMO

PM tidak dikehendaki pakai gelang pengawasan, kuarantin kendiri di rumah

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menolak dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu pemakaian gelang pengawasan.

PMO menjelaskan, berdasarkan penilaian risiko yang dibuat pegawai KKM pada 5 Oktober, Perdana Menteri dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan ‘home assement tool’ dalam aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan itu beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan.

“Justeru dakwaan bahawa Perdana Menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

PMO memaklumkan, keputusan ujian saringan pengesanan COVID-19 yang dilakukan pada 5 Oktober ke atas Perdana Menteri telah disahkan negatif pada keesokan harinya.

Selain itu katanya, Muhyiddin juga telah melakukan tiga ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan didapati negatif.

“Perdana Menteri bagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan itu.

“Setakat ini keadaan kesihatan Perdana Menteri adalah baik.

“Walaupun begitu beliau akan terus melakukan kuarantin kendiri sehingga selesai tempoh 14 hari yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button