Dunia

PBB tuntut China benarkan pemerhati bebas masuk Xinjiang

Pelanggaran hak asasi manusia, sekat kebebasan beragama makin meningkat

WASHINGTON, 19 Safar 1442H, Rabu – 39 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut China segera memberikan akses kepada pemerhati bebas hak asasi manusia ke Xinjiang barat, susulan penganiayaan terhadap etnik muslim di wilayah autonomi itu. 

Duta Besar Jerman, Christoph Heusgen menyuarakan keprihatinan mendalam negara itu terhadap hak asasi manusia di Xinjiang dan perkembangan terkini di Hong Kong. 

“Kami menggesa China untuk segera membenarkan pemerhati bebas termasuk Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia masuk ke sana,” katanya. 

Wilayah Xinjiang menempatkan 10 juta etnik Uyghur. Kumpulan muslim Turki, yang membentuk sekitar 45 peratus penduduk Xinjiang, menegaskan pihak berkuasa China melakukan diskriminasi budaya, agama dan ekonomi ke atas penduduknya. 

Sekitar 1 juta orang atau tujuh peratus daripada populasi muslim di Xinjiang, telah dipenjara dalam kem yang kononnya memberikan untuk pendidikan semula, menurut pakar PBB.

Heusgen berkata, jumlah pelanggaran hak asasi manusia dan sekatan terhadap kebebasan beragama di Xinjiang semakin meningkat. 

“Pengawasan meluas secara berterusan menyasarkan Uyghur dan minoriti lain. Bahkan, banyak laporan mengenai penganiayaan lain seperti mengawal kelahiran etnik itu,” katanya.

Terdahulu, seorang doktor mengakui sekurang-kurangnya 500 hingga 600 wanita Uyghur dipaksa untuk membuang rahim dan menggugurkan janin. 

Lebih teruk, terdapat bayi masih bergerak ketika dibuang ke tempat pembuangan sampah.

Kadar kelahiran di beberapa kawasan diduduki etnik Uyghur menurun sebanyak 60 peratus, manakala di seluruh China kejatuhannya lebih daripada empat peratus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button