Berita Utama

Pemutihan kebun durian Raub? Pekebun sambut baik?

Save Musang King Alliance kemuka 4 prinsip kepada kerajaan Pahang

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Pekebun durian Musang King di Raub yang tidak memiliki tanah menyambut baik langkah ‘pemutihan’ kerajaan negeri Pahang.

Bagaimanapun, pekebun berharap kerajaan negeri boleh mengutamakan dan menjamin hak serta kepentingan mereka berbanding keuntungan konsortium terlibat dalam ‘rancangan pemutihan’ itu.

“Kami semua adalah orang Pahang dan kami bangga menjadi orang Pahang.

“… oleh itu kami bersedia berkongsi hasil dan bersama kerajaan negeri untuk memaju dan menaikkan industri durian serta ekonomi Pahang melalui integrasi sumber dan pentadbiran yang berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook Save Musang King Alliance pada 25 September lalu.

Dalam pada itu, menerusi hantaran sama, Save Musang King Alliance telah mengemukakan empat prinsip asas kepada kerajaan negeri Pahang iaitu perkongsian yang adil; konsep jual beli bebas; cukai tanah yang munasabah serta pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.

Ismaweb.net bagaimanapun difahamkan bahawa perkongsian berkenaan telah pun dipadam, bahkan halaman Facebook Save Musang King Alliance tidak lagi wujud.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, durian yang dikeluarkan ladang haram jelas tidak memiliki pensijilan myGAP, melanggar peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sekali gus boleh menjejaskan industri durian negara selain memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan kelestarian alam khususnya hutan simpan serta sumber air.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button