Berita Utama

Perhalusi bantuan kepada individu ada tanggungan warga emas: I-Medik

Warga emas jadi lemah bila kurang aktiviti fizikal disebabkan sekatan sosial

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Kerjasama padu antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi komuniti dan persatuan sokongan penjaga warga emas amat diperlukan bagi memastikan kesihatan dan kebajikan golongan ini serta penjaga mereka dalam keadaan baik.

Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Mohammed Rasheedan Ellin berkata, keadaan warga emas yang lemah dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan berkaitan penuaan, membuatkan mereka sangat berisiko untuk menjadi korban COVID-19.

“Catatan kes COVID-19 kembali meningkat dan rakyat berhak risau dengan keadaan terkini, terutama dengan jumlah tinggi kes harian direkodkan.

“Gelombang terkini COVID-19 dan penjarakan fizikal akan terus memberikan cabaran terhadap kesihatan serta kebajikan semua, lebih-lebih lagi kelompok warga emas.

“Tidak kira yang tinggal di rumah penjagaan atau bersama keluarga dalam komuniti,” katanya menulis di Berita Harian.

Memetik laporan The Imperial College of London, beliau berkata, individu berusia 70 tahun ke atas mempunyai risiko 20 kali ganda untuk mendapatkan rawatan di hospital, berbanding mereka berusia 20-an disebabkan pandemik itu.

“Menurut kajian, kurang aktiviti fizikal disebabkan sekatan sosial boleh menyebabkan warga emas kurang aktif dan menjadi lemah, seterusnya berisiko untuk jatuh.

“Begitu juga pengurangan rangsangan kognitif disebabkan kurang interaksi sosial dan pergaulan dalam dunia fizikal akan menyebabkan simptom demensia warga emas lebih teruk.

“Lebih memilukan sesetengah warga emas tinggal berseorangan. Ahli keluarga dan rakan mungkin mengelak atau mengurangkan kekerapan menziarahi mereka kerana kesan risiko jangkitan COVID-19 akan lebih teruk dialami warga emas,” katanya.

Kesannya, kata beliau, warga emas berasa tersisih serta terpinggir daripada interaksi sosial dan ini boleh memburukkan simptom kemurungan mereka.

Mohammed Rasheedan berkata, lebih memburukkan keadaan, warga emas serta penjaga mereka mungkin takut mendapatkan rawatan susulan di klinik dan hospital kerana bimbang risiko jangkitan mungkin lebih tinggi jika berada di fasiliti perubatan seperti klinik dan hospital.

“Natijahnya, pemantauan susulan tahap kesihatan mereka akan terkompromi, sekali gus menyebabkan status kesihatan warga emas semakin teruk,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, langkah kerajaan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) mampu melegakan rakyat buat seketika secara keseluruhannya.

Di tambah keringanan moratorium pembayaran semula pinjaman bank, sudah tentu ini memberikan ruang kepada rakyat untuk bernafas dalam kesempitan, katanya.

“Namun, lebih banyak bantuan perlu diperhalusi kepada individu yang mempunyai tanggungan warga emas. Bukan sahaja kewangan, tetapi dari segi sokongan emosi dan sosial berkaitan penjagaan golongan ini.

“Fasiliti perubatan pasti membuka ruang pertanyaan seluasnya untuk berbincang mengenai penjagaan kesihatan warga emas, termasuk dari aspek bekalan ubat-ubatan dan simptom penyakit kronik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button