Berita Utama

PKPB: Parameter di Klang ditentukan pada mesyuarat MKN esok

'Sebarang penyebaran mengenai SOP bagi daerah Klang masih belum muktamad'

SHAH ALAM, 19 Safar 1442H, Rabu – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor akan bermesyuarat esok bagi menentukan parameter kawasan di Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Jumaat ini susulan peningkatan kes pandemik COVID-19.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) PKPB sebelum ini akan diperhalusi dan dilengkapkan pada mesyuarat yang akan melibatkan semua agensi, jabatan dan badan berkaitan itu.

“Sebarang penyebaran mengenai SOP bagi daerah Klang ketika ini masih belum muktamad sehingga diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan MKN esok. Perkara berbangkit yang lain juga akan turut dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya menyatakan bahawa kerajaan negeri mengambil maklum mengenai pelaksanaan PKPB di Klang dan pengumuman lanjut akan dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat MKN berkenaan.

Selain Klang, kerajaan Persekutuan turut mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, dan Tuaran di Sabah bermula pada tarikh sama susulan peningkatan kes pandemik COVID-19 di kawasan itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata pelaksanaan tersebut diambil bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di daerah berkenaan selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button