PRK Batu Sapi: Tangguh dulu, jangan tergesa-gesa
Jika terpaksa dilaksanakan juga, SPR perlu segera ubah prosedur PRK

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa berikutan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan yang juga termasuk dalam zon merah.
Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpandangan, PRK berkenaan boleh ditangguhkan ke satu tarikh dalam lingkungan tempoh 60 hari yang ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, sekiranya mahu dilakukan juga, beberapa penyesuaian prosedur diperlukan antaranya proses penamaan hanya melibatkan calon berserta wakil sahaja tanpa membabitkan perarakan atau perhimpunan penyokong parti.
“Selain itu, kempen pilihan raya dibuat secara dalam talian memandangkan pergerakan terhad berikutan peningkatan kes pandemik di Sabah. Proses membuang undi harus dibuat dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, melibatkan pergerakan dan perhubungan masyarakat yang terhad.
“Cadangan untuk mengadakan undi pos atau undi dalam talian pula harus diperhalusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu dengan mengambil kira peruntukan dan kaedah perundangan yang terpakai untuk kedua-dua kaedah pilihan itu.
“… sekiranya kaedah itu dibenarkan dari segi perundangan apabila keadaan pandemik semakin meruncing di kawasan berkenaan. Pilihan raya boleh ditangguhkan hanya apabila kawasan itu diisytiharkan darurat dan mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Ketika ditanya mengenai gesaan segelintir pihak supaya kerusi Parlimen Batu Sapi diberikan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan), Dr Syed Agil berkata, jika diperhatikan angka majoriti pada pilihan raya umum (PRU) lepas, menunjukkan parti itu mempunyai pengaruh kuat di kawasan berkenaan.
“Ini mungkin disebabkan kewibawaan mendiang yang disenangi oleh penduduk tempatan berdasarkan kepada rekod perkhidmatan dan personalitinya. Justeru, menjadi tanda tanya, apakah Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) boleh merampas kerusi itu,” katanya.
Beliau bagaimanapun yakin BN atau PN boleh melakukannya jika meletakkan calon yang berwibawa, berpengaruh dan mampu bersaing dengan calon Warisan nanti.
“Satu lagi aspek yang menjadi perhitungan dalam PRK Batu Sapi ini ialah pengaruh Warisan yang disifatkan masih kuat dalam kalangan pengundi kerana menggunakan slogan perjuangannya untuk memberikan khidmat terbaik untuk orang Sabah. Slogan seumpamanya ternyata boleh menarik minat para pengundi untuk memilih parti itu.
“Dalam konteks ini juga, boleh diperhatikan para pengundi mungkin terpengaruh dengan kewibawaan dan ketokohan mendiang berserta partinya dan menaruh simpati dari segi kepercayaan dan kekuatan kepada calon yang menggantikan mendiang dari Warisan.
“Apa yang menjadi tanda tanya dan persoalan sekarang ialah apakah golongan pengundi ‘atas pagar’ di kawasan itu akan memberi undi kepada Warisan, PN atau BN berdasarkan sentimen isu tempatan dan nasional yang akan dimainkan dalam kempen politik Batu Sapi nanti?,” soalnya.
Terdahulu, SPR memaklumkan, PRK akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas.
Menurut SPR, pelaksanaan PRK itu selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.