Berita Utama

Siti Aishah sebak, kongsi memori dalam fotobiografi ‘Muhammad Adib’

Bangga pemergian arwah abang diingati, disanjung rakyat Malaysia

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – “Saya menulis buku ini hanya untuk menyimpan semua memori bersama arwah abang.”

Demikian ringkas jawapan Siti Aishah Mohd Kassim, 20, ketika mengulas mengenai buku fotobiografi ‘Muhammad Adib’ tulisannya dalam majlis pelancaran, hari ini.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sungai Petani itu seakan tidak mampu menghabiskan perkataannya, seolah-olah tersekat dan sesekali menunduk.

Dengan nada sebak, Siti Aishah ketika ditemui Ismaweb.net berkata, dia tidak mampu menahan rasa sedih mengenangkan peristiwa menimpa abangnya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Siti Aishah berkata, penulisan buku itu terhasil selepas Penerbit Piri Reis Media mempelawanya untuk berkongsi memori dan pengalaman bersama Allahyarham Muhammad Adib.

“Aishah pada awalnya tidak yakin untuk menulis, kerana ini adalah kali pertama. Tetapi Cik Man sendiri yang datang ke rumah dan mengajak untuk bersama hasilkan buku ini.

“Katanya, jika buku ini ditulis oleh Aishah pembaca akan lebih merasakan perasaan dan penceritaan yang cuba Aishah sampaikan,” katanya.

Buku berkenaan dilancarkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat ISMA, di sini hari ini.

Siti Aishah berkata, dia sebolehnya tidak mahu lagi mengingati peristiwa yang menimpa abangnya itu, tetapi ia bukan bermakna melupakan setiap kenangan mereka bersama sejak kecil.

“Apa yang berlaku ini sebolehnya Aishah tidak mahu ingat lagi kerana ia sangat menyedihkan kami.

“Tetapi, buku ini adalah tempat untuk saya simpan kenangan dengan dia. Sebagai adik, saya akui berbangga dengan dia (Allahyarham Adib) kerana diingati dan disanjung ramai,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button