Dunia

Vaksin COVID-19 siap akhir tahun ini: WHO

2 bilion dos bakal diedar akhir 2021 'pada yang memerlukan'

GENEVA, 19 Safar 1442H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan vaksin COVID-19 – virus yang sudah merebak ke 211 negara – dijangka siap penghujung tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus dalam mesyuarat bersama 34 anggota organisasi itu semalam. 

“Kita memerlukan vaksin, dan mengharapkan ianya diperoleh pada penghujung tahun ini,” katanya. 

Pada masa ini, WHO mengetuai penghasilan vaksin global COVAX yang mempunyai sembilan eksperimen vaksin, merangkumi 168 negara dengan dua bilion dos bakal diedarkan kepada mereka memerlukan pada akhir 2021. 

“Perkara paling penting sekarang ialah melabur atau menggunakan semua alat yang ada. 

“Banyak negara menunjukkan bahawa dengan alat yang kita miliki, mereka dapat mengawal pandemik itu,” katanya merujuk ACT Accelerator. 

COVAX adalah asas utama vaksin Access to COVID-19 Tools (ACT) Accelerator, yang turut diketuai  WHO dan Gabungan untuk Inovasi Kesediaan Wabak (CEPI). 

“Apa yang paling penting adalah komitmen politik daripada pemimpin, terutamanya dalam pengagihan vaksin secara adil,” katanya. 

Sehingga kini berlaku persaingan di seluruh dunia untuk menghasilkan vaksin, dengan 5.7 bilion dos yang sedang dibangunkan sudah ditempah, setakat bulan lalu. 

Namun, WHO memberi amaran bahawa vaksin bagi imunisasi secara meluas terhadap COVID-19 hanya akan berada di pasaran pada pertengahan tahun depan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button