Artikel Khas

Ketua Pengarah Jakim meninggal dunia

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung, paru-paru

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1442H, Khamis – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya, 59, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim Zakaria Othman memaklumkan Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengebumian pada petang ini. Semoga roh al-marhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-fatihah,” menurutnya dalam kenyataan.

Paimuzi yang dilahirkan di Terengganu pada 1961, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (1985) dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah daripada Universiti Malaya.

Allahyarham menyertai perkhidmatan awam pada 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Berpengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam, Allahyarham pernah menyandang jawatan Pengarah Jakim Sabah pada 2005; Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (2008); Pengarah Darul Quran (2010), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI – 2013) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim (2016).

Pada 2017, Allahyarham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan setahun kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara.

“Semoga Allah merahmati dan mengampuni beliau, memberikan ketabahan buat seluruh ahli keluarganya serta keluarga besar Jakim…seorang yang sangat baik setakat saya kenali,” katanya.

Semalam, Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan memaklumkan, Paimuzi disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan di Hospital Sungai Buloh, pada Selasa lepas.

Menurut kenyataan itu, memandangkan faktor sejarah kesihatannya yang kurang memuaskan, pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button