Berita Utama

COVID-19: 375 kes dilapor hari ini

Semua negeri di Malaysia kecuali Perlis catat kes baharu

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1442H, Khamis – Semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Perlis mencatatkan kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 375 kes, selain kemunculan lima kluster baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 371 merupakan penularan tempatan dan empat lagi merupakan kes import, dengan kes tertinggi dicatatkan di Sabah sebanyak 271 kes.

“Daripada 371 kes penularan tempatan, 342 kes melibatkan warganegara dan 29 kes lagi bukan warganegara manakala kesemua kes import melibatkan bukan warganegara yang mengembara dari India (dua kes) dan Belgium (dua kes),” katanya dalam sidang akhbar harian beliau yang disiarkan melalui Facebook berhubung situasi COVID-19 di sini, hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes positif keseluruhan adalah 14,368 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 3,703 kes, katanya.

Sementara itu, terdapat 18 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,519 kes atau 73.21 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button