Berita Utama

Demi anak-anak, KKM disyor tutup semua sekolah selama 14 hari

Tangguh sesi persekolahan sementara waktu sehingga COVID-19 reda

BANGI, 20 Safar 1442H, Khamis – Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari mengesyorkan supaya sesi persekolahan di seluruh negara ditangguhkan buat sementara waktu sehingga kes COVID-19 reda.

Bersetuju dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa institut pengajian tinggi (IPT) sahaja yang ditutup sementara walaupun keputusan penangguhan menjadi huru-hara kepada ramai pihak, katanya, alangkah baik jika semua sekolah juga diputuskan tangguh sesi persekolahan.

“Mengambil sikap ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, mohon ditangguhkan sesi persekolahan untuk 14 hari sahaja sehingga keadaan seluruh Malaysia kembali reda. Tidak ada kerugian mana-mana pihak tetapi kerisauan anak-anak diutamakan.

“Kepada semua ibu bapa, mungkin akan menghadapi kesukaran apabila anak-anak tidak ke sekolah tetapi percayalah, 14 hari ini, Insya-Allah‌‎ akan menyelamatkan negara. Keselamatan anak-anak adalah tidak ternilai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Cikgu Izzat berkata, syor tersebut akan memudahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuat penyelarasan sesi persekolahan. 

“Akhir sekali, segeralah membuat keputusan terbaik. Jangan sampai menjadi parah, baru nak buat keputusan ini. 

“Kita jangkakan dalam tempoh 14 hari ini, keadaan akan kembali reda, Insya-Allah‌‎. Demi keselamatan kesihatan anak-anak kita, tangguhkanlah terlebih dahulu sesi persekolahan ini,” katanya.

Terdahulu, semua sekolah yang disahkan berada dalam Zon Merah oleh KKM akan ditutup bermula hari ini sehingga 23 Oktober hadapan.

KKM dalam satu kenyataan berkata, ia membabitkan sebanyak 142 sekolah di daerah Klang dan 242 sekolah keseluruhan di tiga daerah di Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button