Berita Utama

Dr Siti A’iasah dilantik Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia

Gantikan Dr Mohd Abd Wahab Yusof bersara pada 21 September lepas

PUTRAJAYA, 20 Safar 1442H, Khamis – Timbalan Ketua Pengarah Program Teknikal Agensi Nuklear Malaysia (ANM) Dr Siti A’iasah Hashim dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi berkenaan, berkuat kuasa semalam.

Siti A’iasah menggantikan Dr Mohd Abd Wahab Yusof yang bersara pada 21 September lepas, menurut ANM dalam kenyataan hari ini.

“Pelantikan Siti A’iasah dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau khususnya dalam bidang penyelidikan bagi membolehkan beliau menerajui kepimpinan ANM dan seterusnya meneruskan kecemerlangan bagi mencapai matlamat kemajuan pembangunan dan penyelidikan,” katanya.

Siti A’iasah mendapat Ijazah Pertama Kejuruteraan (Elektrik) daripada University of New South Wales, Australia pada 1987 dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fizik Gunaan (Kawalan Pencemaran Udara) daripada Universiti Malaya pada 2015.

Sementara itu, mantan Pengarah Bahagian Agro dan BioSains Dr Abdul Rahim Harun pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal) ANM, juga berkuat kuasa semalam.

Abdul Rahim merupakan pakar nuklear dalam bidang pembaikan mutasi tanaman pernah menjalankan beberapa misi pakar bagi pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Laos dan Mauritius. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button