Elak pilihan raya, peralihan kuasa dalam masa terdekat: BERJASA
'Bersikaplah sebagai seorang negarawan cintakan watan ini'

BANGI, 20 Safar 1442H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menyarankan supaya sebarang pilihan raya di negara ini ditangguhkan, susulan kebimbangan akan peningkatan mendadak kes COVID-19.
Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, perkara itu penting demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
“Ini telah terbukti bagaimana wabak COVID-19 yang melanda negara adalah berpunca sebahagiannya dari mereka yang berpergian ke Sabah atas urusan PRN (Pilihan Raya Negeri).
“Berapa ramai ahli-ahli politik dari pekerja parti hingga ke menteri telah disahkan positif COVID-19 berpunca dari berkempen di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Badrulhisham turut menggesa pertukaran kerajaan pada ketika ini perlu dielakkan.
Beliau berkata, pertukaran kerajaan hanya akan memburukkan keadaan di mana, masa akan dihabiskan dengan perubahan polisi dan pertukaran jawatan yang bukan sahaja berlaku dalam kalangan ahli Kabinet, malah perkara sama turut terjadi di agensi-agensi lain.
Katanya, kini adalah masa Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang duduk semeja bagi menyelesaikan masalah rakyat serta isu-isu mendesak.
“…terutamanya belanjawan tahunan negara, peruntukan untuk menangani COVID-19, pelan ekonomi, pendidikan, keselamatan negara dan lain-lain.
“Bersikaplah sebagai seorang negarawan yang cintakan watan ini, mengambil pendekatan berhikmah dan menunjukkan sifat kepimpinan yang berwibawa, mengatasi ketaksuban kepartian dan kepada pemimpin, demi untuk rakyat,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak memaklumkan, tarikh PRK, hari pengundian awal dan tarikh penting lain akan ditentukan dalam mesyuarat Selasa ini.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan dikendalikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh di Putrajaya dan sidang media akan diadakan selepas itu.
“SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini, berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah.
“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi itu,” katanya.
Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Liew Vui Keong, Jumaat lalu.