Berita Utama

Fitnah AS, EU ancam industri sawit negara

Sekatan, pengharaman mereka bakal beri impak negatif kepada tiga juta rakyat Malaysia

BANGI, 20 Safar 1442H, Khamis – Amerika Syarikat (AS) kini berganding bahu dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam melaksanakan agenda neoimperialisme mereka ke atas industri sawit Malaysia.

Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affair, Abdul Muein Abadi berkata, sekatan dan pengharaman dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka tanpa menerima fakta dan usaha yang telah dilakukan di pihak Malaysia.

Terbaharu, AS dilaporkan bakal mengharamkan import produk sawit dari syarikat FGV Holdings Berhad.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengumumkan pada lewat Rabu minggu lalu bahawa pihaknya mengharamkan minyak sawit dari FGV, antara pengeluar utama komoditi berkenaan di Malaysia, selepas siasatan selama setahun.

CBP mendakwa, FGV menggunakan tenaga buruh paksa serta buruh paksa kanak-kanak dalam proses pengeluaran minyak sawit. 

Dakwaan AS itu bagaimanapun dibantah dengan penjelasan komprehensif FGV.

“Ternyata tindakan AS itu adalah terlalu tergesa-gesa dan tidak mengambil kira segala inisiatif yang telah dilaksanakan FGV.

“Hal ini menyamai tindakan EU sebelum ini yang melakukan diskriminasi besar apabila menggugurkan minyak sawit daripada senarai tenaga boleh diperbaharui bagi alternatif minyak untuk kenderaan menjelang tahun 2030 di Eropah dengan alasan kononnya industri sawit mengakibatkan penyahutanan.

“Sebaliknya, minyak soya yang mengakibatkan kemusnahan hutan yang jauh lebih besar tidak pula digugurkan EU,” katanya dalam tulisan artikel yang disiarkan di Sinar Online, hari ini.

Abdul Muein berkata, sebagai perbandingan, tanaman sawit menghasilkan lapan kali ganda lebih banyak minyak dalam lingkungan satu hektar berbanding kadar minyak kacang soya yang dihasilkan dalam luas sama di AS.

“Lalu mengapa minyak sawit menjadi sasaran sedangkan minyak soya tidak? Tidak lain tidak bukan kerana diskriminasi politik sebahagian ahli politik Eropah yang pro-Amerika dan menindas negara kecil seperti Malaysia,” katanya.

Tindakan terburu-buru EU dan AS ini, katanya, akan menyebabkan tiga juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak negatif.

Malah, Abdul Muein berkata, ia termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit.

“Kedua-dua tindakan EU dan AS itu adalah manifestasi sikap neoimperialis yang cuba untuk menjejaskan industri sawit demi kepentingan pelobi tertentu di negara mereka – dengan fitnah dan dakwaan berat sebelah yang nyata.

“Sama-samalah kita doakan semoga Allah SWT memelihara industri sawit kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button