Berita UtamaDunia

Lebih 166,000 penempatan Palestin diroboh Israel sejak 1948

Harga permit rumah tak masuk akal, beri peluang Zionis luaskan jajahan

BAITULMAQDIS, 20 Safar 1442H, Khamis – Hampir 166,000 penempatan Palestin dimusnahkan rejim pengganas Israel sejak ia didirikan pada tahun 1948.

Pusat Penyelidikan Tanah Persatuan Pengajian Arab di Baitulmaqdis melaporkan, lebih sejuta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan.

“Selama sembilan bulan pertama tahun 2020, pasukan penjajah (Israel) merobohkan 450 rumah dan kemudahan milik Palestin.

“Ia juga mendorong beberapa warga Palestin terpaksa merobohkan kediaman sendiri atas desakan rejim Zionis, “ kata pusat itu.

Rejim Zionis juga dilaporkan mengehadkan pembinaan penempatan Palestin, selain memaksa rakyat negara itu membina kediaman sendiri tanpa permit yang kononnya di bawah kuasa Israel.

Tindakan rakyat Palestin itu memberi peluang kepada serbuan rejim Zionis atas alasan tiada kebenaran pembinaan rumah, meskipun Israel jarang mengeluarkan permit itu kepada mereka.

Sementara itu, Israel merancang pembinaan ribuan unit kediaman di penempatan haram di tanah Palestin yang diduduki.

Pada masa sama, pusat itu melaporkan bahawa rakyat Palestin secara terdesak hanya memerlukan 25,000 unit kediaman di Baitulmaqdis.

Warga Palestin percaya tujuan sebenar peraturan ketat tidak masuk akal Israel dalam isu pembinaan rumah adalah bagi mengosongkan selain menghalau penduduk asal negara itu.

Bulan lalu, terdapat laporan bahawa jumlah permit pembinaan bangunan yang diberi Israel kepada Palestin di wilayah diduduki menurun sebanyak 45 peratus pada suku kedua 2020.

Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) dalam laporannya pada April 2019 menyifatkan, bahawa rejim Zionis mustahil memberi permit pembinaan bangunan kepada rakyat Palestin di Baitulmaqdis.

Dalam laporan sama, OCHA berkata, ribuan rumah Palestin dirobohkan ketika Israel menolak permohonan mereka untuk mendapatkan permit.

“Malah, permit bangunan dikenakan dengan harga melampau dan tidak masuk akal bagi rakyat Palestin.

“Ini menyebabkan rejim Zionis mengambil kesempatan merampas lebih luas tanah Palestin, membina lebih banyak penempatan haram dan mengharamkan pembinaan bangunan oleh rakyat Palestin,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button