Berita Utama

Macau Scam: Mungkin ada ‘taikun’ lain latih dalang utama?

Mungkin ada segelintir anggota keselamatan lindungi sindiket

BANGI, 20 Safar 1442H, Khamis – Tidak mustahil dalang di sebalik kegiatan penipuan ‘Macau Scam’ yang ditangkap baru-baru ini, mempunyai taikun lain yang melatih penjenayah sindiket itu.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin turut tidak menolak kemungkinan masih ada segelintir anggota keselamatan yang mengkhianati amanah rakyat, terbabit melindungi sindiket berkenaan.

“Saya sangat bersimpati dengan rakan, kenalan dan seluruh rakyat Malaysia yang ditipu hidup-hidup sehingga kehilangan segala simpanan seumur hidup mereka.

“Rupanya memang wujud sekumpulan manusia di alam nyata yang kerjanya menipu dan membunuh masa depan orang-orang yang tidak berdosa.

“Mereka adalah peminum arak yang tegar, kaki judi, mempromosi zina dan berfoya-foya dengan hidup yang di luar kebiasaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau mendesak supaya mereka yang terbabit dalam sindiket jenayah itu dikenakan hukuman tegas.

“Hanya Allah sahaja yang layaknya untuk membalas kejahatan dan kezaliman pengkhianat dan peminum arak tegar ini.

“Semoga mangsa penipuan yang ada di seluruh negara ini mendapat pembelaan,” katanya.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki ‘mencuci’ ratusan juta ringgit diraih daripada kegiatan mereka dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunakan ‘ejen’ di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘membersihkan’ wang hasil penipuan.

SPRM turut memperoleh perintah menahan reman selama lima hari ke atas lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunakan modus operandi berkenaan pada 3 Oktober lalu.

Mereka termasuk dua wanita dipercayai memainkan peranan penting melaburkan wang hasil aktiviti pelaburan Macau Scam dan judi dalam talian dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button