Dunia

PBB kecam serangan ‘keji’ sasar sekolah Afghanistan

Enam nyawa terkorban, 20 yang lain cedera

GENEVA, 18 Ramadan 1443H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam insiden letupan bom di dua institusi pendidikan di ibu negara Afghanistan hari ini, yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam nyawa dan mencederakan hampir 20 yang lain.

Letupan berlaku di Sekolah Tinggi Abdul Rahim Shahid – menempatkan semua pelajar lelaki – dan Pusat Pendidikan Mumtaz, di mana kedua-duanya terletak di kawasan Dasht-e-Barchi, kawasan didominasi penganut Syiah di Kabul barat.

Serangan di Sekolah Tinggi Abdul Rahim Shahid dilaporkan berlaku ketika pelajar keluar dari kelas pagi, menurut PBB di Afghanistan.

Sementara, letupan di Pusat Pendidikan Mumtaz berlaku tidak lama kemudian.

Penyelaras Kemanusiaan PBB di Afghanistan, Ramiz Alakbarov berkata, perbuatan keganasan ke atas sekolah tidak boleh diterima, sekali gus mengutuk sekeras-kerasnya serangan ‘mengerikan’ itu.

“Keganasan di dalam atau di sekitar sekolah tidak boleh diterima. 

“Bagi rakyat Afghanistan, yang sudah dilanda peperangan selama 40 tahun, sekolah harus menjadi tempat selamat dan tempat di mana-mana kanak-kanak boleh belajar,” katanya.

Alakbarov menegaskan bahawa serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, termasuk sekolah adalah dilarang sama sekali di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Serangan ‘keji’ itu turut dikecam Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) menerusi kenyataan di Twitternya, hari ini.

“Mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah yang menyasarkan sekolah dan kanak-kanak mesti dibawa ke muka pengadilan,” kata UNAMA.

Berita berkaitan:

6 maut letupan di sekolah menengah di Kabul

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button