Berita Utama

‘Sama saja’ netizen Cina tak kisah tiada wakil dalam Kabinet Sabah

Dakwa MCA tak mampu bantu masyarakat jika berada dalam Kabinet

BANGI, 20 Safar 1442H, Khamis – Biarpun ada pihak tertentu yang mendesak supaya mempertimbangkan pelantikan wakil ‘menteri Cina’ dalam Kabinet negeri Sabah, ternyata pendirian itu bercanggah dengan kebanyakan netizen daripada kaum berkenaan.

Rata-rata netizen Cina seolah-olah tidak kisah tiada wakil daripada kaum itu dilantik dalam Kabinet yang diketuai Datuk Hajiji Noor.

Menerusi ruangan komen Facebook akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily bertajuk ‘Tiada menteri Cina dalam Kabinet Sabah’ yang dimuat naik hari ini, kebanyakan netizen menyatakan tidak peduli dengan keputusan kerajaan negeri itu.

“Walaupun ada wakil Cina tak dapat buat apa-apa, hanya mereka bercakap tetapi tidak boleh buat apa-apa, maka sama saja seperti tiada,” tulis Khim Low.

“Ada atau tiada, tiada perbezaan yang ketara,” kata Bella WL.

“Kalau ada sekali pun, mereka hanya akan kata ‘yes yes yes’,” kata Ng Tina.

Pada masa sama, ada juga sebahagian netizen yang mempertikaikan pemilihan wakil PAS, dan pembentukan Kabinet Sabah sebagai penyatuan besar orang Islam.

“Tiada orang Cina, tetapi ada PAS. Kelakarlah,” tulis Kent Tyt.

“Tiada beza apa pun. MCA juga tidak mampu untuk membantu masyarakat Cina,” kata Wilson Low.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menggesa kerajaan negeri, mencalonkan beberapa wakil dari kaum Cina untuk diletakkan ke dalam Kabinet.

Bukan hanya FCAS, malah Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong Sabah) juga menyuarakan gesaan sama supaya melantik menteri berketurunan Cina dalam Kabinet Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button