Berita Utama

Sekolah selamat COVID-19? Disaran ambil pendekatan mencegah

Virus mudah tular, sukar letak sempadan kawasan selamat atau tak

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 20 Safar 1442H, Khamis – Rakyat di negara ini disarankan untuk bertindak secara mencegah berbanding reaktif dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

Presiden I-Medik, Prof Dr Azmi Md Nor berkata, agak sukar untuk mengenal pasti sama ada sesuatu kawasan itu berada dalam zon selamat, ini disebabkan oleh sifat virus berkenaan yang mudah menular.

Tambahan pula, katanya, kebanyakan pesakit yang menghidapi wabak itu tidak bergejala.

“Jadi, bila keadaan jadi begini menyebabkan kesukaran kita meletakkan sempadan di mana kawasan selamat dan tidak selamat.

“Sudah tentu kerajaan hanya bersandarkan kepada bilangan kes besar di sesuatu tempat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sebarang perkara berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan COVID-19.

“Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Azmi menjelaskan, faktor pergerakan sosial manusia yang berlaku setiap hari menyebabkan risiko penularan itu tetap ada, meskipun ia hanya berlaku di lokaliti tertentu.

Beliau berkata, walaupun sekolah berada dalam keadaan terkawal di mana setiap individu tidak dibenarkan untuk keluar masuk sewenang-wenangnya, namun murid-murid turut terdedah dengan virus COVID-19 apabila pulang bertemu keluarga, tinggal di rumah pengasuh, taska, kelas mengaji dan sebagainya.

“Jadi, ini menyebabkan risiko-risiko yang kita tidak nampak memberi pemahaman mengapa sesetengah ibu bapa mengambil pendirian untuk berjaga-jaga.

“Persoalan sama ada sekolah adalah tempat selamat atau tidak, ia sukar dijawab secara objektif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button