Artikel Khas

Sindiket ‘cuci duit’: SPRM miliki senarai selebriti, ahli perniagaan

Diminta hadir secara sukarela ke SPRM bagi memberi keterangan

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1442H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki senarai nama beberapa selebriti tanah air dan ahli perniagaan, yang disyaki terlibat dalam sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, kesemua mereka diminta hadir secara sukarela ke SPRM bagi memberi keterangan dan membantu siasatan, kes berkenaan.

Beliau berkata, SPRM tidak mahu membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana individu yang dipanggil untuk hadir.

“Siapa makan cili mesti terasa pedasnya, mereka (selebriti dan ahli perniagaan) mungkin pernah menerima dana sindiket.

“Oleh yang demikian, sila datang kepada SPRM (secara sukarela) kerana jika kami sendiri yang memanggil mereka, ia sudah tidak berapa cantik.” katanya dalam wawancara SPRM bertajuk ‘Pemerkasaan SPRM dan Usaha Pencegahan Rasuah’ di radio MACC.fm di sini.

Selain itu Azam berkata, jenayah pengubahan wang haram ini banyak melibatkan kesalahan seperti menipu, rasuah atau merompak bank, dan wang itu perlu dicucikan.

“Mereka yang menerima wang itu tidak boleh tidak tahu atau berkata mereka tidak tahu, kerana apabila kami siasat, kami akan siasat sampai ke mana wang itu berada atau diserahkan, sebelum mereka menubuhkan perniagaan untuk mencuci wang,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat sindiket ‘cuci duit’, berkaitan sindiket berkenaan.

Sebelum ini, sepasang suami isteri bergelar artis, dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button