Berita Utama

Sindiket ‘cuci duit’: Pegawai, anggota polis disiasat secara dalaman

Isu libat pelanggaran peraturan, tatakelakuan termasuk disiplin

 

KUALA LUMPUR, 21 Safar 1442H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan dalaman melibatkan pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terlibat sindiket ‘cuci duit’.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata siasatan pihaknya dalam isu ini lebih kepada aspek pelanggaran peraturan, tatakelakuan dan disiplin mereka sebagai pegawai dan anggota polis.

Beliau berkata kesemua lapan pegawai dan anggota polis yang ditahan disyaki salah guna kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

“Selain itu, JIPS juga akan menyiasat dan meneliti gaya hidup dan pemilikan aset mereka sama ada setimpal atau tidak dengan pangkat serta jawatan mereka.

“Polis akan mengambil perhatian serius terhadap penglibatan pegawai berkenaan dengan sindiket terbabit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Zamri berkata pihaknya akan mengenakan tindakan tataterbib yang tegas kepada mereka yang melakukan pelanggaran peraturan dan disiplin pasukan PDRM.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami yang diwujudkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

Kesemua ratusan syarikat yang dikesan SPRM itu sengaja diwujudkan bagi menyalurkan wang haram sindiket terbabit.

Selain itu, SPRM telah membekukan 730 akaun bank bernilai RM80 juta disyaki akaun sindiket berkenaan dan menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porshe serta beberapa motosikal berkuasa besar dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Sebelum ini, SPRM memanggil pasangan artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button