Berita UtamaDunia

400 ditahan, hari ke-3 tunjuk perasaan ganas di Indonesia

Lempar batu, pecah bangunan hingga cederakan 6 anggota polis

JAKARTA, 21 Safar 1442H, Jumaat – Polis Indonesia menahan 400 penunjuk perasaan yang membantah Undang-Undang Cipta Kerja yang yang dikritik kerana didakwa melemahkan hak pekerja, lapor agensi berita kerajaan Antara.

Agensi berita itu melaporkan, sekurang-kurangnya 60 penunjuk perasaan dan enam anggota polis cedera dalam demonstrasi berhampiran Istana Presiden pada hari ketiga tunjuk perasaan di seluruh negara serta di rantau Asia Tenggara.

Video menunjukkan penunjuk perasaan menjerit, melempar batu, memecah masuk bangunan dan membakar tembok berhampiran istana kebangsaan, sementara polis menembak meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah Indonesia berkata, sebahagian daripada penunjuk perasaan mengalami sesak nafas selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Pengkritik berkata, undang-undang baharu yang dikenali sebagai ‘Omnibus Law’ itu tidak melindungi sebahagian hak buruh, masyarakat peribumi dan alam sekitar.

Mereka juga mengadu undang-undang yang diluluskan tiga hari lebih awal pada Isnin lalu berbanding tempoh ditetapkan pentadbiran Presiden Joko Widodo atau Jokowi tanpa berunding dengan kesatuan sekerja.

Undang-undang baharu tersebut yang diluluskan Parlimen didakwa sebagai kunci untuk meningkatkan daya saing ekonomi terbesar di Asia Tenggara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan bertujuan menarik pelabur asing. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button