Berita Utama

Ekosistem ekonomi, sosial terjejas jika laksana PKP 2.0

Hati-hati sebelum minta kerajaan laksana semula PKP seluruh negara

BANGI, 21 Safar 1442H, Jumaat – Semua pihak diminta berhati-hati sebelum mendesak kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ini kerana, penguatkuasaan PKP 2.0 bukan hanya menjejaskan ekosistem ekonomi, bahkan membebankan lebih ramai rakyat, kata aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kubang Pasu, Dr Hisham Sharif.

Beliau berkata, sekiranya PKP dilaksanakan semula, lebih ramai rakyat akan hilang pekerjaan, selain kerajaan terputus hasil dan tidak mampu lagi menampung pelbagai jenis bantuan.

“Lebih ramai yang akan mengalami masalah jiwa dan berantakan keluarga kerana masalah kewangan, pelajar yang tidak ke IPT dan sekolah akan merosakkan ekosistem ekonomi yang berlegar di sekelilingnya.

“Pemandu van sekolah, penjual sate ikan di hadapan sekolah, wak penjual soya di tepi padang, semuanya akan terkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Hisham berkata, tidak mustahil kesan itu akan turut diterima oleh kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau penjawat awam tetap.

“Tidak ada yang kebal dan tidak mustahil akan ada elaun yang dipotong dan semua akan hidup dengan pendapatan yang kurang.

“Bank juga tidak akan mampu dan tidak mahu lagi memberi moratorium besar-besaran,” katanya.

Katanya lagi, apabila kuasa membeli menurun, permintaan juga menurun dan ekonomi akan jatuh, menyebabkan lebih ramai hilang punca pendapatan.

“Sistem kesihatan kerajaan juga tidak akan mampu bertahan jika tiada dana yang cukup dan ‘worst case scenario’, semua perlu membayar harga yang lebih mahal untuk mengelakkan sistem kesihatan runtuh.

“Dengan tiada kemasukan pelancong luar yang tidak tahu bila, duit tidak mengalir masuk, negara akan kurang wang lagi. Justeru, hati-hati dengan apa yang anda minta,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keperluan untuk kerajaan melaksana semula PKP, mengambil kira situasi semasa COVID-19 di negara ini.

Setakat semalam, sebanyak 375 kes baharu COVID-19 dicatatkan dengan semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Perlis mencatatkan kes baharu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button