Berita Utama

Jangan risau hantar anak, sekolah diperketat SOP

SK Permatang Janggus jalani proses sanitasi sebanyak 2 kali

KEPALA BATAS, 21 Safar 1442H, Jumaat – Ibu bapa dan penjaga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga dekat sini dinasihatkan supaya tidak merasa bimbang untuk menghantar anak-anak kembali ke sekolah setelah lapan hari ditutup berikutan seorang guru wanita di situ positif COVID-19.

Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang enggan dikenali berkata sekolah berkenaan telah pun menjalani proses sanitasi sebanyak dua kali sepanjang sekolah itu ditutup.

“Malah, segala prosedur operasi standard (SOP) sedia ada turut diperketat. Jadi, kepada ibu bapa mahupun penjaga tidak perlu risau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan sekolah itu yang dibuka semula hari ini.

Beliau turut mengakui kehadiran murid ke sekolah itu sememangnya berkurangan kerana berkemungkinan hari ini adalah hari terakhir minggu persekolahan.

Sebelum ini, terdapat ibu bapa dan penjaga murid di sekolah itu menyuarakan kebimbangan mengenai langkah membuka semula sekolah itu hari ini kerana merasakan tempoh itu tidak mencukupi bagi mereka yang dikenakan kuarantin dan sepatutnya berlangsung selama 14 hari.

Menurut Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, pembukaan semula sekolah itu membabitkan murid tahun tiga, empat, lima dan enam sahaja manakala murid tahun satu dan dua tidak perlu ke sekolah sehingga mereka selesai menjalani tempoh kuarantin sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kelak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button