Berita Utama

Kartel Low Yat, Ah Meng Co kuasai dunia judi dalam talian negara

Untung ratusan juta ringgit, sanggup berhabis jaga pegawai berkepentingan

BANGI, 21 Safar 1442H, Jumaat – Sebahagian pegawai dan anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini dipercayai melindungi kegiatan haram milik Kartel Low Yat.

Berita Harian memetik sumber sebagai berkata, rangkaian kartel ini sanggup membelanjakan jutaan ringgit sebagai habuan bulanan kepada pegawai dan anggota berkepentingan yang boleh memastikan aktiviti judi dalam talian terus beroperasi serta tidak digempur.

Katanya, sindiket itu sebelum ini dikatakan mempunyai beberapa premis judi di sekitar Lembah Klang, namun selepas operasi besar-besaran digerakkan pihak berkuasa memaksa Kartel Low Yat mengalihkan kegiatan mereka kepada telefon bimbit.

“Dengan telefon bimbit, kaki judi tidak perlu ke premis mesin judi sebaliknya boleh membuat taruhan secara dalam talian di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja tanpa perlu bimbang ditahan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun sistem alamat protokol internet (IP) aktiviti judi sindiket berkenaan sebenarnya boleh dikesan pihak berkuasa termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),” katanya.

Difahamkan, kartel itu beroperasi dari kawasan segi tiga emas Bukit Bintang sejak dua tahun lalu dengan menawarkan aktiviti judi dalam talian termasuk yang menggunakan telefon bimbit sebagai medium.

Dalang sindiket ini menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga tempatan dilapor memperoleh ratusan juta ringgit hasil aktiviti judi talian termasuk aktif semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Sumber berkata, SPRM dilaporkan mempunyai nama pegawai dan anggota yang masih belum ditahan, dengan ada antaranya sudah dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

Beliau juga memaklumkan, untuk ‘menghalalkan’ wang hasil aktiviti judi ini, orang kanan sindiket Kartel Low Yat akan melaburkan wang dalam perniagaan dikendalikan selebriti, artis dan beberapa usahawan melalui penubuhan syarikat serta anak syarikat.

Selain kartel itu, turut aktif adalah sindiket perjudian adalah Ah Meng Co yang beroperasi secara dalam talian dan dipercayai turut membuka premis judi termasuk di sekitar kawasan Sungai Buloh.

Kartel Ah Meng Co turut dikaitkan dengan sindiket perjudian WeChat ini, bagaimanapun menghentikan kegiatan berasaskan premis judi sebaik operasi dan serbuan besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia susulan pendedahan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, beberapa bulan lalu.

Sindiket Ah Meng Co turut membuka beberapa pusat hiburan di sekitar ibu negara untuk ‘mencuci’ keuntungan hasil judi dalam talian melalui perniagaan hiburan.

Ketua sindiket dikatakan melarikan diri ke negara jiran susulan operasi di Sungai Buloh, namun aktiviti judi dalam talian atas nama Ah Meng Co masih diteruskan.

Selain dua kartel terbabit beberapa lagi sindiket kecil-kecilan yang menjalankan aktiviti judi dalam talian masih beroperasi dengan nama syarikat tertentu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button