Berita Utama

Tak disangkal lagi, kenyataan Ronnie bukti DAP parti cauvinis!

Tony Pua, Hannah Yeoh cuba kaburi mata orang Melayu hakikat sebenar

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Ramadan 1442H, Jumaat – Ucapan kontroversi Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu supaya parti itu tidak ‘mencairkan kecinaannya’ untuk meraih sokongan Melayu bukti jelas bahawa DAP adalah parti cauvinis Cina.

Meskipun mendapat kritikan daripada beberapa pemimpin DAP termasuk Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung kenyataan tersebut, hakikat sebenar DAP parti cauvinis Cina tidak dapat disangkal lagi.

Timbalan Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan menyifatkan, kenyataan Ronnie bukanlah kes terpencil, sebaliknya beliau mewakili majoriti akar umbi DAP.

“Terpinggirnya tokoh-tokoh pemimpin bukan Cina mengukuhkan lagi hakikat ini.

“Tindakan Tony Pua dan Hannah Yeoh hanyalah untuk mengaburi mata orang Melayu terhadap hakikat sebenar DAP,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Ronnie dalam satu program di Klang memaklumkan, parti itu tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik mereka.

Jelasnya, DAP perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain tetapi tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri sebagai parti bukan Cina.

Bagaimanapun, Hannah menyifatkan kenyataan Ronnie itu sebagai satu pemikiran toksik dan sempit kerana DAP merupakan parti untuk semua rakyat Malaysia.

Tegasnya, kenyataan itu bukan seperti DAP yang disertai beliau selama ini.

Tony turut tidak ketinggalan membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu dengan menyifatkan Ronnie sebagai ‘cauvinis Cina yang tidak diperlukan DAP’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button