Berita Utama

Miliki majoriti belum tentu jadi PM, Anwar ‘alat’ percepat PRU15?

PN mungkin jatuh tapi Anwar gagal tubuh kerajaan, PRU15 tak boleh dielakkan

BANGI, 21 Safar 1442H, Jumaat – Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, mendapat cukup sokongan dari Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada berkemungkinan membawa negara kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dalam tempoh pandemik COVID-19.

Penganalisis politik, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana, langkah Ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai pelbagai implikasi yang dilihat berdasarkan tiga kemungkinan.

“Pertamanya, jika dia benar-benar mempunyai sokongan, ia bermakna ada ahli Dewan Rakyat yang berubah angin dan melompat parti.

“Jika berlaku demikian, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap sebagai hilang sokongan majoriti dan tidak layak menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Dr Muhammad Fathi berkata, selaku Perdana Menteri, Muhyiddin boleh terus meletakkan jawatan atau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Terpulang kepada YDPA sama ada memenuhi atau menolak permintaan itu.

“Jika permohonan ditolak, maka Anwar akan dilantik sebagai PM ke-9. Jika permohonan diterima, maka berlakulah PRU15,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kemungkinan Anwar mempunyai sokongan untuk menjatuhkan Muhyiddin, tetapi tidak untuk jawatan Perdana Menteri.

“Kenapa berlaku demikian? Tidak mustahil mereka yang menyatakan sokongan kepada Anwar berbuat demikian semata-mata untuk memastikan berlaku PRU lebih awal.

“Berdasarkan beberapa kenyataan umum, kelihatan tokoh-tokoh dari UMNO sangat mengharapkan agar PRU diadakan segera. Sokongan kepada Anwar hanya alat untuk mencapai cita-cita.

“Jika demikian, maka Anwar mungkin berjaya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi gagal untuk menubuhkan kerajaan dan akhirnya PRU15 tidak lagi boleh dielakkan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Muhammad Fath turut tidak menolak kemungkinan ada elemen tertentu dalam UMNO yang sememangnya menyokong Anwar menubuhkan kerajaan baharu.

“Lantas bila hasrat itu dipersembah kepada YDPA, maka dengan sendirinya kerajaan PN jatuh.

“Tetapi pada saat rundingan untuk menubuhkan kerajaan, wujud konflik khususnya antara elemen UMNO dan DAP yang pada zahirnya amat sukar untuk bergabung.

“Keadaan yang kusut demikian jika tidak dapat dirungkaikan akan membawa kepada PRU15 dalam tempoh terdekat,” katanya.

Anwar dalam satu kenyataan semalam mendakwa, telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan.

Katanya, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang dinyatakan sebelum ini, pada majlis menghadap itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button