Berita Utama

Operasi mencurigakan, KPDNHEP sita logo halal premis makanan

Antara kesalahan dilakukan tidak punya rekod permohonan sijil halal

TELUK INTAN, 21 Safar 1442H, Jumaat – Sikap curiga pengguna membawa kepada tindakan sita logo halal milik dua premis penyediaan makanan di Teluk Intan, semalam.

Tindakan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak selepas siasatan mendapati premis pertama tidak mempunyai rekod permohonan sijil halal.

Ketua Cawangan KPDNHEP Teluk Intan, Mohd Badrul Hisham Ahmad Alias berkata, pihaknya bertindak sedemikian selepas menerima maklumat awam berhubung penggunaan logo halal yang meragukan.

Katanya lagi, operasi pemeriksaan melibatkan lima pegawai KPDNHEP bersama tujuh pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi sejak Januari lalu dan semakan pihak JAIPk mendapati tiada permohonan sijil halal dibuat.

“Pihak KPDNHEP menyita beberapa dokumen dan barang-barang lain sebagai bahan bukti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Badrul Hisham menambah, pemeriksaan kedua melibatkan premis perniagaan kek dan roti yang didapati mempunyai sijil halal yang telah tamat tempoh.

“JAIPk memaklumkan terdapat beberapa bahan dan tempat pembuatan kek yang tidak diisytiharkan serta diragui status halal bahan tersebut.

“KPDNHEP kemudiannya telah menyita logo halal tersebut dan beberapa dokumen lain,” katanya.

Katanya lagi, kesalahan itu diklasifikasikan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Peniaga perlu tahu kesalahan melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan yang menggunakan logo halal hendaklah memiliki sijil halal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button