Berita Utama

PKPB: 2 SJR, 3 jalan ditutup di Bukit Kuda

Tiada keperluan surat kebenaran keluar, masuk di daerah Klang Utara

SHAH ALAM, 21 Safar 1442H, Jumaat – Polis Klang Utara melaksanakan dua sekatan jalan raya (SJR) dan menutup tiga jalan di sekitar Bukit Kuda dekat sini, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang, berkuat kuasa hari ini hingga 23 Okt.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata SJR berkenaan dilakukan di hadapan premis Emy Cookies & Food dan Simpang Lorong Lintang Raksa 2, kedua-duanya di Jalan Bukit Kuda.

“Pihak polis juga akan menutup tiga jalan di kawasan Bukit Kuda iaitu Lorong Perak, Jalan Raksa 3 dan Jalan Raksa 4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke Lorong Lintang Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Pangsapuri Bukit Kuda perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang Utara setakat ini,” katanya.

Nurulhuda turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi PKPB dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Masyarakat boleh menghubungi Bilik Gerakan Op COVID-19 di talian 03-3376 2400 untuk sebarang pertanyaan atau aduan, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button