Berita Utama

Politikus jangan buat onar ketika rakyat bergelut ‘perut kosong’

Kira-kira 1 juta rakyat kehilangan pendapatan akibat COVID-19

BANGI, 21 Safar 1442H, Jumaat – Ahli politik diingatkan untuk tidak membuat sebarang onar tatkala rakyat bergelut dengan ‘perut kosong’ menghadapi gelombang ketiga wabak COVID-19.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, ini selepas dianggarkan kira-kira sejuta rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan atau terputus punca pendapatan akibat pandemik berkenaan yang merebak ke seluruh negara sejak Mac lalu.

“Air Asia telah memberhentikan 300 orang staf mereka termasuk 111 juruterbang dan 50 jurutera. Shell dikatakan sedang dan bakal memberhentikan 8,000 orang staf mereka.
Puluhan ribu rakyat Malaysia yang terlibat dengan projek katering kehilangan pendapatan.

“Puluhan atau ratusan ribu rakyat Malaysia yang terlibat dengan agensi perhotelan, agensi pelancongan dan yang berkaitan dengannya sangat terkesan dengan wabak ini. Kita dijangka akan hidup dengan COVID-19 untuk berbulan-bulan, mahu pun setahun dua lagi,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak terutamanya pemimpin politik berusaha yang terbaik dalam menangani pandemik ini.

“Jangan buat onar tatkala rakyat bergelut dengan perut yang kosong.

“Kita hanya akan lebih insaf andai kita dan ahli keluarga kita terseksa akibat wabak ini,” katanya.

Semalam, sebanyak 375 kes baharu COVID-19 dicatatkan dengan semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Perlis mencatatkan kes baharu.

Daripada jumlah itu, 371 adalah penularan tempatan dan empat lagi kes import, dengan kes tertinggi dicatatkan di Sabah sebanyak 271 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button