Berita UtamaDunia

Saeb Erekat disahkan positif COVID-19

Setiausaha Agung PLO berisiko tinggi alami komplikasi

RAMALLAH, 21 Safar 1442H, Jumaat – Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat disahkan positif COVID-19.

Jawatankuasa Eksekutif PLO memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan melalui Twitter, semalam.

Dalam satu kenyataan, PLO dan Jabatan Hal Ehwal Perundingan PLO (NAD) berharap Erekat yang juga Ketua Perunding Palestin sembuh segera, serta memohon maaf kerana membatalkan semua temu janji sehingga beliau pulih sepenuhnya.

Media melaporkan, Erekat yang juga antara pemimpin Palestin paling menyerlah di pentas dunia akan kekal tinggal di rumahnya di bandar Jericho, Tebing Barat yang diduduki, mengasingkan diri selepas dijangkiti virus itu.

Susulan pengumuman berkenaan, kebimbangan meningkat terhadap kesihatan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berikutan ahli politik bertemu beberapa hari lepas.

Bagaimanapun, media melaporkan semua yang hadir dalam pertemuan itu disahkan negatif jangkitan COVID-19 yang setakat ini merekodkan lebih 39,500 kes termasuk 335 kematian di Tebing Barat.

Walaupun mempunyai gejala ringan, Erekat, 65, dianggap berisiko tinggi mengalami komplikasi kerana sejarah perubatannya yang mana pada tahun 2012, beliau mengalami serangan jantung dan pemindahan paru-paru pada 2017.

Erekat, memainkan peranan penting dalam politik Palestin selama berdekad-dekad, malah sering menjadi penghubung utama bagi perutusan asing dan media antarabangsa.

Sepanjang karier politiknya, beliau konsisten menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian konflik antara Palestin-Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button