Berita Utama

Tangguh PRK Batu Sapi? Boleh, jika kawasan diisytihar darurat

Cadangan pilihan raya atas talian sukar dilaksana libat banyak aspek

BANGI, 21 Safar 1442H, Jumaat – Pilihan raya kecil (PRK) hanya boleh ditangguhkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan itu, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, dari segi Perlembagaan, apabila ada kekosongan di kawasan terlibat dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga sudah menghantar surat meminta SPR mengisi kekosongan itu, maka pihaknya perlu melaksanakan perkara berkenaan.

“Jadi dalam tempoh 60 hari SPR kena ambil tindakan untuk isi kekosongan itu kecuali jika kerajaan isytihar kawasan Batu Sapi ini kawasan merah, keadaan wabak begitu dahsyat dan tidak dapat dikawal serta darurat, barulah PRK ini boleh dipertimbangkan untuk ditangguhkan.

“Jika semua kriteria itu ada, SPR akan akur,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bantahan beberapa pihak mengenai keperluan untuk mengadakan PRK Batu Sapi berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di Sabah.

Mengulas mengenai cadangan agar PRK Batu Sapi dibuat secara dalam talian, Abdul Ghani berkata, kaedah itu akan mengambil masa yang panjang kerana ia melibatkan proses perundangan sedia ada.

Katanya, ia tidak boleh dijalankan sewenang-wenangnya dan perlu melalui beberapa proses tertentu sebelum dapat dilaksanakan.

“Apabila sesuatu sistem hendak dibuat, ia perlu digazetkan, kena dapat kelulusan akta dan melalui proses undang-undang terlebih dahulu. Namun kaedah yang terbaik adalah membuat PRK secara fizikal,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan surat pemberitahuan kepada SPR berhubung kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Katanya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR ada kekosongan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button