Berita Utama

Tolak asimilasi, Hua Zong takut budaya Cina peranakan berkembang?

Mereka lebih suka kaum Cina hidup terasing dari budaya tempatan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Safar 1442H, Jumaat – Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) didakwa, menolak Teori Asimilasi kerana khuatir budaya Cina peranakan berkembang ke seluruh negara.

Cina peranakan merupakan hasil proses asimilasi di antara masyarakat Tionghoa dengan budaya Melayu, yang contohnya dapat dilihat di Melaka menerusi Baba Nonya termasuk juga Terengganu dan Kelantan masing-masing dikenali sebagai ‘Cina Kampung’ serta ‘Mek dan Awang’.

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni kehairanan, mengapa Hua Zong menolak teori yang dinyatakan oleh Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong itu.

Jelasnya, ini kerana tindakan berkenaan seumpama menolak kewujudan suatu yang sudah secara jelas ada di depan mata.

Sehubungan itu, katanya lagi, timbul tanda tanya adakah Hua Zong lebih gemar melihat kaum Cina hidup secara terasing dengan budaya tempatan.

“Bahkan, Hua Zong nampaknya tidak gembira jika ada kaum Cina yang fasih bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan sebahagian budaya Melayu dalam berpakaian dan sebagainya. Mungkin Hua Zong takut apa yang berlaku di Melaka, Kelantan dan Terengganu itu berkembang ke masyarakat Cina di negeri lain.

“Ini terutamanya di dalam aspek pertuturan bahasa Melayu kerana ia adalah alat komunikasi penting yang menyatukan semua kaum di Malaysia.

“Terbukti Cina peranakan di Kelantan dan Terengganu hidup lebih harmoni di dalam masyarakat Melayu berbanding dengan Cina di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, sebagai sebuah persatuan Cina yang besar di negara ini, Hua Zong sepatutnya mengalu-alukan apa juga bentuk asimilasi kaum tersebut dengan budaya Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.

Sebelum ini, Pengerusi Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan membantah Teori Asimilasi yang dinyatakan oleh Prof Kok Seong.

Katanya, hujah yang diberi Prof Kok Seong kurang objektiviti dan individu berkenaan harus menghasilkan data yang meyakinkan untuk menyokongnya.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, faktor sejarah dan migrasi nenek moyang di negeri-negeri dalam Malaysia dengan pendedahan yang lama kepada persekitaran kehidupan yang objektif telah menyebabkan terjadinya toleransi yang membawa kepada penerimaan dan amalan beberapa cara hidup setempat.

Bahkan katanya, Prof Kok Seong hanya merujuk kepada penduduk Cina yang menetap di beberapa kampung atau Cina peranakan (yang digelar oleh orang setempat sebagai Hokkien Siam), tetapi mereka hanyalah sebahagian kecil dan tidak mewakili kebanyakan orang Cina di Kelantan.

“Walaupun Cina kampung atau peranakan ini telah sekian lama berkomunikasi dalam bahasa Melayu setiap hari, memiliki kebiasaan memakai sarung dan makan dengan tangan mereka, mereka tidak boleh dianggap sebagai berasimilasi.

“Kerana mereka sekian lama masih berpegang teguh pada kepercayaan agama Cina, menyembah dewa dan nenek moyang di rumah, merayakan perayaan tradisional Cina, dan berkeras untuk mengahwinkan anak-anak mereka dengan kumpulan etnik yang sama. Mereka sangat berpegang dengan banyak tradisi Cina!,” katanya.

Membidas kenyataan itu, Prof Kok Seong mendakwa, Hua Zong takut pada bayang-bayang sendiri apabila tidak bersetuju dengan Teori Asimilasi.

Beliau berkata, kenyataan pertubuhan itu mengenai Cina peranakan menunjukkan mereka tidak arif konsep asimilasi yang merupakan satu konsep ilmiah dalam bidang sosiologi.

Prof Kok Seong menegaskan, beliau lebih mengetahui mengenai Cina peranakan kerana beliau adalah generasi ketujuh daripada keturunan itu berbanding Hua Zong yang Cina Totok.

Tegasnya, Cina peranakan secara turun temurun mengamalkan hidup Melayu dalam hidup Cina mereka seperti ‘mencebok’, makan menggunakan tangan serta mandi waktu pagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button