Berita Utama

Beri kuasa kepada JPN, PPD tutup sekolah: iGuru

Elak daripada karenah birokrasi boleh tingkat risiko jangkitan

BANGI, 22 Safar 1442H, Sabtu – Angka jangkitan baharu COVID-19 yang kekal tiga digit sejak kebelakangan ini, nyata merunsingkan ibu bapa tentang perihal keselamatan anak-anak mereka di sekolah.

Kewujudan kes melibatkan para guru dan pelajar menambah lagi keresahan itu, sekali gus mewujudkan persepsi bahawa persekitaran sekarang tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti pembelajaran.

Sehubungan itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mendesak, supaya kuasa sementara untuk membuka atau menutup sekolah diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, perkara tersebut wajar dipertimbangkan bagi mengelakkan daripada berlakunya karenah birokrasi yang boleh meningkatkan risiko jangkitan.

“Dalam hal ini iGuru mencadangkan supaya pihak KPM segera mengambil langkah proaktif untuk membendung penularan gejala tersebut.

“Kuasa sementara untuk membuka dan menutup sekolah perlu diberikan kepada pihak JPN atau PPD dengan maklumat lengkap dari pihak pengurusan sekolah berkaitan status kes.

“Ini bagi mengelakkan kerenah birokrasi dan memastikan risiko jangkitan kepada murid dapat dikurangkan di samping semua pihak patuh kepada SOP yang ditetapkan KPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azizee berharap, langkah itu dapat menghilangkan keresahan dan kebimbangan melampau dalam kalangan ibu bapa serta warga sekolah.

Beliau berkata, dalam situasi seperti ini adalah wajar untuk KPM mengambil tindakan segera demi menjamin keselamatan bersama.

“iGuru merasa bimbang dengan peningkatan kes COVID-19 di beberapa kawasan tertentu serta melibatkan warga pendidik dan murid-murid.

“Ini akan memberikan risiko kepada warga guru dan murid-murid yang sepatutnya diutamakan keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button