Berita Utama

COVID-19: 374 kes baharu, jumlah keseluruhan lepasi 15,000

Selain itu, terdapat 3 lagi kes kematian dilaporkan hari ini

KUALA LUMPUR, 21 Safar 1442H, Sabtu – Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini kekal tiga digit untuk 10 hari berturut-turut dengan 374 kes hari ini, sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan melepasi angka 15,000 kepada 15,096.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan juga meningkat kepada 4,161 kes, selain terdapat tiga lagi kematian dilaporkan.

Jelasnya, Sabah kekal merekodkan kes baharu tertinggi dengan 277 kes, susulan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan terutama di pelbagai daerah yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran.

“Di Selangor terdapat 44 kes, diikuti Kedah dengan 27 kes yang kesemuanya melibatkan Kluster Tembok, sementara Sarawak (sembilan), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat) dan tiga di Pulau Pinang.

“Sementara itu masing-masing dua kes di Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan, selain satu kes di Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button