COVID-19: One Utama, Tropicana diarah tutup mulai esok
Individu kunjungi Parkson Elite, Mac City pada tarikh tertentu diminta buat ujian saringan

SHAH ALAM, 21 Safar 1442H, Sabtu – Pusat beli-belah One Utama dan Tropicana Golf Club & Country Resort diarahkan tutup mulai esok, berikutan terdapat kes positif COVID-19 dikesan membabitkan petugas dan pengunjung di premis berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling Johary Anuar berkata, orang ramai yang mengunjungi bahagian kosmetik dan wangian di aras G, Parkson Elite pada 30 September hingga 7 Oktober dan Mac City di aras dua pada 25 September hingga 30 September di pusat beli-belah One Utama diminta tampil membuat ujian saringan COVID-19.
“Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan melakukan saringan kesihatan (COVID-19) di One Utama pada 14 dan 15 Oktober bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang. Keutamaan saringan adalah kepada kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Johary berkata, arahan penutupan berkenaan bagi membolehkan ujian saringan kontak rapat dan proses nyahkuman di premis-premis terbabit dilaksanakan.
Setakat ini, empat kes positif dikesan membabitkan tiga pekerja dan pengunjung di pusat beli-belah One Utama, manakala seramai lima pekerja dikesan positif COVID-19 di Tropicana Golf Club & Country Resort, -Bernama