Berita Utama

COVID-19: Sekolah di Sabah tutup mulai hari ini hingga 25 Oktober

Pihak sekolah akan urus keselamatan murid-murid di asrama

KUALA LUMPUR, 22 Safar 1442H, Sabtu – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan semua sekolah di Sabah ditutup mulai hari ini sehingga 25 Oktober depan.

Bagaimanapun, murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah serta mereka di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga adalah di zon merah, perlu kekal tinggal di asrama masing-masing.

Menurut KPM, pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid tersebut di asrama.

“Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini telah memberi tumpuan khusus kepada situasi di Sabah.

“Pada masa ini, semua sekolah di zon merah di negeri Sabah telah ditutup. Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah,” menurutnya dalam kenyataan.

Dalam tempoh itu, KPM berkata pentadbir sekolah diarah memastikan para guru dan murid-murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah dengan memuat turun manual di portal rasmi KPM (www.moe.gov.my). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button