Jokowi pertahan kelulusan Omnibus Law
Gesa golongan pembantah cabar kelulusan undang-undang di mahkamah

JAKARTA, 22 Safar 1442H, Sabtu – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi tetap dengan pendiriannya mempertahankan undang-undang cipta lapangan kerja (Ominbus Law) yang diluluskan Parlimen Isnin lalu, meskipun protes di seluruh negara semakin mengganas.
Jokowi berkata, maklumat tidak tepat mengenai undang-undang itu menjadi punca bantahan rakyat.
Beliau berpendirian bahawa undang-undang yang digubal itu akan membantu mewujudkan pekerjaan kepada golongan muda dan individu yang menganggur kesan daripada krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Pada masa sama, beliau menggesa golongan yang membantah supaya mencabar kelulusan undang-undang itu di mahkamah Perlembagaan.
Sejak Isnin lalu, beberapa siri protes diadakan di seluruh negara sehingga ada penunjuk perasaan cedera berikutan bertempur dengan pasukan keselamatan.
Kebanyakannya membantah undang-undang cipta lapangan kerja itu dilaksanakan kerana didakwa menafikan banyak faedah serta kepentingan untuk golongan pekerja.
Selain bantahan rakyat, beberapa pemimpin daerah turut mengeluarkan pandangan senada mendesak undang-undang berkenaan dihapuskan.
Hampir 13,000 polis dikerah di tengah Jakarta bagi mengekang protes.- Agensi