Berita Utama

Pakatan baharu Anwar satu perjudian prinsip

Perjuangan UMNO kononnya tolak Anwar, DAP bohong belaka

BANGI, 22 Safar 1442H, Sabtu – Polemik perubahan kuasa susulan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen mencetuskan tanda tanya berkenaan prinsip dan perjuangan pemimpin veteran itu.

Seperti diketahui ramai, perjuangan politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu selama ini berpaksikan kepada menolak amalan rasuah dan gejala salah guna kuasa.

Persoalan kini, apakah Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sanggup menggadaikan perjuangannya semata-mata mahu menjalin kerjasama dengan pemimpin UMNO yang terpalit dengan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, jika perkara tersebut berlaku maka terkuburlah prinsip yang diperjuangkan oleh Anwar sejak sekian lama.

Tegas beliau, apa yang pasti, segala tindak tanduk Anwar dan UMNO selepas ini membuka mata rakyat tentang hipokrasi politik mereka.

“Isu ini bukan berkaitan Anwar sahaja, sebaliknya ia melibatkan sikap UMNO juga. Langkah Anwar ini menimbulkan persoalan besar tentang prinsip dan maruah.

“Bagaimana Anwar yang selama ini menolak rasuah dan salah guna kuasa sebagai landasan perjuangan politiknya kini menerima UMNO dan pemimpinnya yang sedang didakwa atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

“Adakah ini bermakna Anwar sanggup gadai prinsip yang akhirnya membebaskan Najib, Zahid dan mereka yang dituduh rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik turut mempersoalkan adakah Anwar akan mencampuri urusan kehakiman selepas ini?

“Kalau begitu di mana prinsip ketelusan, integriti dan pemisahan kuasa. Anwar akan kuburkan segala prinsip perjuangannya bila berkomplot dengan UMNO,” dakwanya.

Dalam perkembangan sama, Abdullah Zaik menempelak, konsep perjuangan UMNO yang kononnya selama ini membela orang Melayu dan agama Islam sebagai satu pembohongan.

Katanya, ini selepas parti berteraskan Melayu itu dilihat akan menjalinkan kerjasama dengan Anwar dan DAP yang selama ini mereka musuhi.

“Bagi UMNO…lantang isytihar no DAP, no Anwar kini akan berkerjasama dengan Anwar dan DAP kerana nak selamatkan beberapa pimpinan UNNO yang dituduh di mahkamah dan tamakkan kedudukan dan kuasa, UMNO akan korbankan prinsip-prinsip mereka sendiri.

“Ini akan membenarkan dakwaan bahawa perjuangan Melayu dan Islam selama ini bohong belaka. Kiblat sebenarnya hanya kuasa dan kekayaan,” dakwanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button