Berita Utama

Tangguh pilihan raya atas faktor kecemasan amalan demokratik

'Apakah kematian bayi di Sabah akibat COVID-19 belum cukup meruntun hati untuk berhenti berpolitik?’

BANGI, 21 Safar 1442H, Sabtu – Penangguhan pilihan raya adalah demokratik untuk dilaksanakan disebabkan faktor kecemasan dan luar jangka.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, perkara itu penting meskipun pilihan raya yang diadakan secara berkala dan tetap adalah ciri penting amalan demokrasi.

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Mujibu menyarankan sama ada parti politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahupun Parlimen boleh menggunakan prinsip substantif demokrasi dan integriti pilihan raya bagi menangguhkannya, tanpa perlu menggunakan peruntukan perundangan sedia ada.

Beliau berkata, pelaksanaan PRN Sabah ketika negara dilanda pandemik COVID-19 telah menjejaskan integriti pilihan raya itu sendiri.

Selain itu, beliau menyifatkan bahawa ruang kepada pertandingan yang berkesan, penyertaan proaktif rakyat selain kualiti pengurusan pilihan raya tidak memuaskan disebabkan pandemik berkenaan.

“Itu belum lagi risiko keselamatan yang terpaksa ditanggung selepas PRN berakhir.

“Kita menyaksikan bagaimana bahana melakukan PRN kepada usaha negara melawan COVID-19 yang menjadi sia-sia sehingga kes baharu jangkitan mencatat rekod tertinggi melebihi kes ketika kerajaan melakukan sekatan dan penutupan selama tiga bulan.

“Disebabkan itu, kita sebenarnya memang ada alasan kukuh untuk meminta penangguhan sementara daripada mengadakan sebarang pilihan raya,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, terdapat bantahan dari beberapa pihak mengenai keperluan untuk mengadakan PRK Batu Sapi berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di Sabah.

Mengulas perkara sama, Mujibu berkata, pelaksanaan pilihan raya sepatutnya dijadikan alat kepada perluasan amalan demokrasi yang unggul, terutama dalam memberikan hak berpartisipasi saksama, persaingan politik sihat dan seimbang, serta ruang perbincangan dan pertimbangan adil serta terbuka kepada semua rakyat.

Beliau berkata, ia selari dengan konsep integriti pilihan raya yang dianjurkan Garnett dan James (2020) sebagai merealisasikan prinsip demokrasi dalam pelaksanaan pilihan raya yang diperlukan untuk menyokong kewujudan amalan demokrasi lebih luas.

“Mungkin aspek kemanusiaan wajar menjadi pertimbangan utama dalam konteks tersebut.

“Apakah kematian bayi berusia setahun di Semporna, Sabah dek COVID-19 pada Selasa lalu masih belum cukup meruntun hati semua pihak untuk berhenti berpolitik?

“Adakah penting sangat pilihan raya sampai tidak boleh ditangguhkan langsung? Tidak adakah jalan lain boleh dilakukan jika terdesak sehingga pilihan raya itu mesti dilakukan tanpa mengira masa dan suasana?” soalnya kesal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button