Berita Utama

23 jemaah Masjid Ulul Albab negatif COVID-19

Ia hasil 2 ujian pengesanan dilakukan terhadap mereka

BESUT, 23 Safar 1442H, Ahad – Tiada yang paling menggembirakan buat 23 jemaah Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih di sini apabila disahkan negatif COVID-19 melalui hasil dua ujian pengesanan yang dilakukan terhadap mereka.

Susulan itu, mereka yang dikuarantin sejak malam Selasa lepas di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di Marang telah dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing petang semalam.

Pengerusi Jawatakuasa Masjid Ulul Albab, Ayob Jusoh berkata beliau bersama 22 jemaah lain diarahkan menjalani kuarantin setelah masjid itu baru-baru ini dilawati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri, sebelum beliau disahkan positif COVID-19.

“Pengalaman dikuarantin selama lima hari tidak akan dilupakan kerana saban hari kami diselubungi rasa berdebar menunggu keputusan ujian COVID-19 sama ada positif atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ayob berkata sepanjang berada di pusat kuarantin, mereka diberi layanan kelas pertama oleh petugas di situ dengan makanan disediakan sebanyak lima kali sehari dan dihantar ke bilik yang menempatkan dua orang setiap bilik.

Seorang lagi ahli jawatankuasa masjid tersebut, Hasin Deraman, 63, berkata debaran menunggu keputusan saringan kali kedua pagi semalam tidak dapat disembunyikan lagi kerana ia penentu mereka dijangkiti atau tidak.

“Kami juga tersentuh kerana ketika mahu menaiki bas, petugas kesihatan berbaris di kiri dan kanan mengucapkan selamat jalan kepada kami,” kata pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button