Berita Utama

42 individu ditahan berparti liar, dadah di Batu Feringghi

Empat positif dadah, 17 lagi miliki rekod lampau jenayah, dadah

GEORGE TOWN, 23 Safar 1442H, Ahad – Seramai 34 lelaki dan lapan wanita ditahan kerana menyertai parti liar termasuk berpesta dadah di sebuah banglo mewah yang disewa di Batu Feringghi, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan pada 11.30 malam, dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Hasil pemeriksaan di dalam banglo yang disewa mereka secara harian itu turut menemukan pelbagai minuman keras dan sejumlah dadah jenis ketamin. Ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah manakala 17 lagi memiliki rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang turut menyertai operasi berkenaan  mengeluarkan kompaun kepada pemilik banglo itu kerana menjalankan perniagaan inap desa tanpa lesen yang sah.

Sementara itu, Soffian berkata, seramai 76 pengunjung pusat hiburan di Jalan Dr Lim Chwee Leong di sini, berusia antara 20 dan 40 tahun, turut dikompaun RM1,000 masing-masing kerana mengingkari SOP PKPP dalam pemeriksaan pada 11 malam tadi.

“Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan pengurus pusat hiburan tersebut kerana menjalankan operasi tanpa lesen yang sah. Kami juga merampas pelbagai peralatan muzik yang digunakan di pusat hiburan berkenaan,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button