COVID-19: ICU Hospital Queen Elizabeth II beroperasi seperti biasa
40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah
KUALA LUMPUR, 23 Safar 1442H, Ahad – Perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di Sabah masih beroperasi seperti biasa, namun jumlah pesakit dikurangkan daripada lapan kepada enam orang selepas seorang jururawat di situ dikesan positif COVID-19 pada 6 Oktober lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu, saringan menggunakan RTK Antigen dan RT-PCR dijalankan terhadap 92 petugas perubatan di hospital itu pada 9 Oktober yang mendapati seorang lagi jururawat, iaitu kontak rapat kepada kes indeks, positif COVID-19 manakala yang lain negatif.
“Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah. Punca jangkitan masih dalam siasatan. Majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di Sabah setakat ini berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, sejak permulaan wabak hingga 9 Oktober lepas, seramai 579 kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) daripada pelbagai kategori skim perkhidmatan telah dijangkiti COVID-19.
“Untuk Sabah, bagi tempoh yang sama, seramai 198 kakitangan KKM telah dijangkiti COVID-19, yang mana pada Oktober sahaja telah mencatat jumlah paling tinggi setakat ini iaitu 85 orang berbanding September iaitu 66 orang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua petugas kesihatan dan perubatan supaya memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian ketika menjalankan tugas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sama ada di tempat kerja ataupun ketika dalam komuniti.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pembabitan lebih banyak sukarelawan perubatan dan kesihatan diperlukan bagi membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga COVID-19.
Setakat 8 Oktober lalu, seramai 475 petugas pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu bagi membantu menangani penularan COVID-19 di Sabah.
Beliau berkata, mobilisasi petugas kesihatan dan perubatan itu membabitkan 297 daripada Bahagian Perubatan dan Bahagian Kesihatan Awam yang digerakkan secara dalaman di Sabah manakala 178 lagi membabitkan petugas dari negeri-negeri lain.
“Kebajikan semua anggota kesihatan dan perubatan akan terus diutamakan bagi memastikan aset utama KKM itu dapat menjalankan tugas dengan baik. Terima kasih diucapkan kepada semua anggota kesihatan dan perubatan serta semua sukarelawan yang telah bersama-sama membantu memerangi COVID-19 di Malaysia setakat ini,” katanya. -Bernama